Assalamualaikum
Bulan ini betul-betul membuatkan aku rasa tidak tenang. Setiap kali terfikirkan keputusan SPM yang bakal diumumkan minggu hadapan, jantungku seolah-olah dipanah petir, darah mudah yang hangat mengalir seakan-akan beku dan seluruh anggota tubuhku bagaikan berhenti berfungsi. Membaca status-status sahabat-sahabat seusiaku yang turut mengalami keadaan ini membuatkanku terus gusar memikirkan nasib.
Bukanku tidak yakin dengan ketentuan Allah, jauh sekali berburuk sangka kepada-Nya yang Maha Pencipta. Namun, sebagai manusia biasa yang lemah lagi tidak berdaya, aku hanya boleh bertawakkal dan terus berdoa agar suratan takdir bakal menitiskan air mata kesyukuran dan ukiran senyuman di bibirku. Ibu bapa, guru-guru, keluarga seterusnya semua yang mengenali diri ini menyimpan 1001 harapan. Seandainya doa-doaku diperkenankan, maka Alhamdulillah. Aku bersyukur. Tetapi aku terfikir, bagaimanakah jika sebaliknya (Nauzubillah)? Tidak wajar untukku menyalahi takdir kerana apa jua keputusan berakar umbikan usaha yang telah aku alirkan sebelumnya. Bagaimanakah harusku pasrah dan ikhlas menerima? Bagaimana harus aku berdepan dengan insan-insan mulia yang dikecewakan? Bagaimana pula dengan masa depan aku?
Nauzubillah. Aku berharap dan terus berharap agar Allah menjauhkan aku daripada ujian sebegitu. Aku takut. Aku tidak kuat.
Calon-calon SPM 2012. Ayuh bersama berdoa,
Ya Allah, hamba-hambaMu ini memohon. Terimalah titipan bingkisan madah-madah permintaan daripada hamba-hamba-Mu yang hina ini. Dengan rendah hatinya kami meminta, agar Engkau jauhi kami daripada diturunkan malapetaka berbentuk keputusan yang tidak kami ingini. Janganlah Engkau jadikan keputusan SPM kami ini sebagai pembalasan kerana dosa-dosa kami, sebaliknya jadikanlah ia anugerah keatas amalan-amalan kami. Kami hanya mampu meminta, memohon dan terus berdoa. Sekiranya Engkau memakbulkan doa kami, maka jauhkanlah kami dari sifat riak, ujub dan takbur. Dan jadikanlah kami hamba-hamba yang bersyukur. Namun ya Rabb, seandainya bukan rezeki kami untuk mendapat apa yang kami pinta itu, Engkau tabahkanlah hati-hati kami, Engkau berilah kekuatan dan kesabaran untuk kami redha keatasnya. Sesungguhnya, Engkaulah jua sebaik-baik perancang.
Demi Allah yang menciptakan, dan seluruh kekuasaanNya. Makbulkanlah.
Aameen Ya Rabbal Alameen.
![]() |
PELAJAR PEREMPUAN SPM 2012 |
![]() |
WAKIL PELAJAR LELAKI 2012 (SPM) |